Islam adalah agama bagi orang yang cerdik. Orang cerdik akan memilih sesuatu yang dapat menyelamatkan dirinya. Bukan sahaja selamat bahkan tenang, senang, damai, dan bahagia di dunia lebih-lebih lagi di Akhirat. Sebab itu orang cerdik akan memilih sesuatu yang tepat dan bukan setelah kena tipu baru ternganga. Itulah sebabnya orang cerdik memilih Akhirat daripada dunia.
Islam mahukan wanita-wanitanya juga cerdik dan bersrategi. Cerdik adalah penting. Terutamanya isteri para pejuang. Isteri yang cerdik dan berstrategi tahu menilai dirinya dan bijak meletakkan diri, kena pada tempatnya. Sifat cerdik membolehkan ia banyak membantu perjuangan suami.
Isteri yang cerdik sentiasa pandai mengatur hidupnya, mengurus rumahtangganya, suami serta anak-anak. Ia cekap dalam bertindak jika ia perlu membuat keputusan sendiri. Isteri yang begini mampu untuk hidup dalam berbagai keadaan. Dia pandai menyesuaikan diri. Suami akan menjadi dungu kalau memiliki isteri yang tidak cerdik yang hanya berfikir tentang dirinya, perasaannya tanpa memikirkan pengorbanan dan perjuangan suami.
Pejuang ertinya orang yang hidup berjuang. Bila berjuang ertinya perlu berkorban, dan setiap yang berkorban mesti terkorban. Sedikit sebanyak isteri-isteri pejuang adalah orang yang merelakan dirinya berkorban dan terkorban di jalan Allah. Bukan senang untuk menjadi isteri seorang pejuang. Terpaksa mengorbankan segala-galanya demi menegakkan Islam di muka bumi ini. Tentulah sakit dan perit, tapi itulah nilai dirinya disisi Tuhan.
Rasullullah memilih isteri-isterinya dari kalangan cendiakawan (cerdik pandai). Bukan sahaja cerdik bahkan tangkas, cergas, bijak, rajin disamping cantik dan pemalu. Perempuan mesti ada sifat pemalu. Sebab malu itu bagi wanita adalah sebahagian dari iman.
Pernah dalam sejarah memaparkan bagaimana cerdiknya isteri Rasullullah SAW. Kesemuanya isteri baginda 11 orang yang kekal dan terkenal dalam sejarah dan disebut-sebut. Yang cerdik diantara mereka, bijak pula dan selalu disebut-sebut oleh Rasullullah SAW ialah Sayiditina Aisyah r.ha.
Sayiditina Aisyah r.ha. wanita mulia ini diberi kelebihan oleh Rasullullah, kuat pula ingatan dan dapat pula luahkan dengan tepat bila ditanya.
Kadangkala wanita-wanita akhir zaman ini memiliki sifat-sifat pandai berhujah tapi kepandaian itu digunakan untuk melawan kata-kata suami dan ibu bapa sehingga suami rasa dirinya tidak dihormati. Ada juga wanita-wanita cergas, tangkas, bijak, dan rajin tetapi bukan pada suami dan bukan mengabdikan diri pada jalan Allah.
Mereka cergas, tangkas, bijak, rajin di hadapan ‘boss’, bersama kaum lelaki turun naik bas untuk ke tempat kerja, menghadiri majlis sosial, lincah berkawan di disko-disko, kelab-kelab malam dan sebagainya. Ini bukan wanita cerdik.
Wanita cerdik pandai menjaga maruah diri, pandai membatasi diri dengan hukum-hukum syariat. Kalau ia terlanjur, ia cepat-cepat memohon maaf pada suami, bertaubat minta ampun pada Allah dan berazam tidak mahu mengulangi lagi.
Wanita cerdik sanggup berkorban apa sahaja untuk suami hatta perasaannya sendiri semata-mata hanya kerana ingin melihat hati suami gembira dengan layanannya kerana kegembiraan suami ertinya pahala untuk dirinya. Sekalipun dirinya dan jiwanya terpaksa bermujahadah. Wanita cerdik berjiwa merdeka. Hatinya tidak dijajah oleh rantaian dunia, syaitan dan hawa nafsu yang sentiasa menipu. Itulah wanita cerdik yang berstrategi dalam menghadapi hidup.
Isteri-isteri Rasulullah yang cerdik-cerdik semuanya pernah dimiliki oleh orang lain, kemudian terlepas ke tangan Rasulullah. Sayidatina Aisyah sebelum berkahwin dengan Rasulullah SAW pernah bertunang dengan orang lain.
Ummu Salamah (kedua cerdik) pernah menjadi kepada isteri kepada Abu Salamah. Zainab r.a sebelum dikahwini Rasulullah, merupakan isteri kepada anak angkat baginda, Zaid Bin Harisah. Begitulah dengan yang lain-lainnya ada yang pernah menjadi janda sebelum berkahwin dengan Rasulullah. Setelah diamati dan dinilai barulah Rasulullah SAW kekalkan sebagai isteri.
Juwairiyah r.ha. adalah seorang tawanan perang. Sebelum dijadikan isteri Rasulullah sudah terserlah kecerdikannya. Biasanya kalau sudah jadi tawanan, seorang itu akan bingung dan beku (jadi bodoh), tetapi tidak pada Juwairiyah. Sebaliknya ia sanggup berjumpa Rasulullah minta diberi perlindungan, dibebaskan dia dan keluarganya.
Orang yang berjiwa tenang sahaja yang boleh membuat begitu di saat orang lain gawat. Inilah wanita yang Rasulullah mahu dan peristerikan. Bukan panik dan takut hanya kerana seekor lipas!
Begitulah penilaian Rasulullah dalam memilih calon isteri. Bukan seperti kita hari ini. Pilih calon kerana ada kelulusan universiti. Kononnya bijak dan boleh melahirkan anak yang pintar. Tapi kebanyakan yang berpendidikan tinggi tidak sedar dia menghambakan ibu ayah dan mentua. Ibu ayah dan mentua dijadikan hamba menjaga anak-anak mereka. Itupun ibu-ayah tidak sedar kerana dikaburi dengan wang yang dihulurkan setiap bulan.
Ada yang menganggap isteri yang cerdik itu isteri yang ‘up-to-date’ yang berpakain ikut ‘trend’, ‘make-up tebal’, rambut diset dengan pelbagai fesyen. Boleh ikut suami dalam apa sahaja majlis pun, pandai menari dan tidak kekok bergaul dengan rakan-rakan suami. Itu yang diharapnya dijadikan isteri. Hanya suami yang dayus sahaja yang sanggup melihat isteri ditonton oleh rakan-rakannya. Lelaki dayus tidak akan masuk syurga kata Allah. Itupun kita masih tidak sedar. Masih berkhayal dengan dunia yang bersifat sementara.
Cuba kita lihat apa pentingnya Rasulullah memilih wanita-wanita cerdik sebagai isteri? Pada sesetengah lelaki, ia hanya menilai pada cantiknya semata-mata. Pada pemimpin ummah seperti Rasulullah, sangat memerlukan isteri yang cerdik kerana dengan kecerdikannya dapat membantu baginda dan perjuangan Islam. Perempuan cerdik dapat membantu suami di sudut ia mampu semata-mata untuk membangunkan Islam. Dia senang diajak bertukar-tukar fikiran, berbincang, saling memberi dan menerima, dapat pula melayan suami dengan baik, dapat menerima buah fikiran suami dan disampaikan dengan tepat pula.
Sanggup berhadapan dengan bermacam-macam golongan masyarakat selagi tidak melanggar batas syariat, dapat membela Islam bila dipertikaikan dan lain-lain lagi. Kalau cantik semata-mata tanpa cerdik dan berstrategi, suami akan cepat jemu. Suami pulang semata-mata untuk berehat dan bersenang-senang dengan isteri dan anak-anak. Selepas itu dia akan diam membisu. Perasan jemu tinggal di rumah akan menyebabkan suami tidak suka duduk di rumah. Apatah lagi kalau isteri itu tidak cerdik dalam menghadapi suami, tidak ada rupa pula, lagilah suami jemu.
Untuk berhadapan suami, perlu juga susun strategi. Perlu faham kehendak dan ‘mood’ suami. Bila dia suka dilayan, bila dia hendak berehat, bila dia hendak bergurau, dan berkelakar dan bila pula suami ingin berbincang secara serius dalam hal-hal tertentu dengan isterinya. Isteri yang bijak pandai menepati kemahuan dan kehendak suami tanpa perlu diminta.
Hatta, dalam hal memasak pun isteri perlu cerdik. Kalau tidak cerdik, barang yang mahal jadi tidak sedap. Isteri perlu faham selera suami, kesukaan dan kegemarannya, biarpun ianya murah, tapi diadun dan direka menjadi satu masakan yang lazat. Jangan terjadi suami lebih gemar makan di luar dari makan masakan isteri sendiri.
Isteri yang terlalu lurus juga tidak dapat memberi hiburan pada suami. Isteri yang terlalu menurut tanpa menggunakan fikirannya untuk menilai sesuatu atau memberi padangan pada suami, tetapi tidak pula menjejaskan ketaatan pada suami atau melawan kata suami.
Pernah salah seorang isteri Rasulullah diuji oleh Sayiditina Aisyah akan kecerdikannya, katanya: “Pergi kata kan pada Rasulullah bila engkau berjumpanya nanti: “aku berlindung dengan Rasul.” Sedangkan Islam mengajar untuk berlindung dengan Allah!
Ummu Salmah r.a terkenal cergasnya dan pernah mengikuti beberapa peperangan hingga mendapat luka-luka. Pernah berlaku selepas hijrah Rasulullah ke Madinah, Rasulullah dan para sahabat sangat rindu untuk mengerjakan haji di Makkah. Perjanjian Hudaibiah pun dimeteri. Tetapi ternyata perjanjian itu berat sebelah. Atas kebijaksanaan Rasulullah, umat Islam patuh juga pada perjanjian itu kerana dalam jangka panjang perjanjian itu menguntungkan orang Islam. Ini semua tidak disedari oleh pihak Quraisy Makkah. Para Sahabat sudah dalam keadaan terpinga-pinga ketika mereka dilarang masuk ke Makkah. Maka tidak ada harapanlah untuk mengerjakan haji pada masa itu. Pihak Quraisy membenarkan mengerjakan haji pada tahun berikutnya. Sedangkan mereka terlalu rindu Baitullah hinggakan bila Rasulullah menyuruh sahabat-sahabat mencukur rambut dan menyembelih binatang korban, mereka tidak berbuat. Ummu Salmah memberi fikiran agar Rasulullah SAW dulu memulakannya. Akhirnya bila Rasulullah berbuat, barulah semua sahabat mengikut dan sedar akan perintah Rasulullah.
Itulah pentingnya isteri yang cerdik yang sentiasa mengingatkan suaminya. Dapat menyelesaikan masalah suaminya. Dengan kemampuan yang ada pada isteri yang cerdik, banyak perkara boleh diselesai. Bukan sahaja masalah suami bahkan juga masalah masyarakat. Dia boleh mengajar, mendidik, memberi pandangan, menasihat, merawat dan lain-lain lagi sebagai isteri yang serba boleh setakat kemampuannya.
Bagaimana untuk didik diri agar jadi isteri yang cerdik dan berstrategi? Isteri hendaklah sentiasa faham kehendak suami barulah boleh bertindak tepat mengikut kesukaan suami. Isteri kena kreatif, asah fikiran sendiri agar dapat pelbagaikan layanan untuk suami. Korbankan segala-galanya untuk suami kerana Allah suruh kita taat pada suami. Kita kahwin dulu pun dengan harapan suami sebagai pembimbing. Jadi tidak patutlah kalau suami kita buat macam kawan, layan lebih kurang. Ini bukan isteri yang cerdik. Isteri begini hanya mahu diri dan perasaannya dilayan. Sedangkan dirinya sendiri tidak mahu berkhidmat melayan suami. Ini sudah lari dari tugas sebagai isteri.
Oleh itu jadilah isteri yang cerdik dan berstrategi dalam memahami perjuangan suami di luar rumah. Cuma berhati-hatilah, agar dibantu hanya untuk perkara-perkara yang dibenarkan dalam syariat.
SUMBER
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Post a Comment Blogger Facebook